October 29, 2011

Avira Anti Virus


Hari ini aku tepati janji aku dengan Raihan untuk membawanya makan bersama di Subway. Raihan merupakan kawan perempuan yang paling rapat denganku. Aku suka padanya, sangat. Dia tak tahu. Jadi aku rasa petang di Subway ialah waktu yang paling tepat untuk aku luahkan perasaan aku terhadapnya. Tambahan pula, aku pasti taktala dia menikmati Subway di mulutnya itu akan mampu mempu menggembirakan hatinya. Justeru berdasarkan pengiraan aku, peluang untuk aku peroleh respon positif darinya adalah sangat tinggi! Yeah!

Aku duduk di hadapannya, melihatnya makan sandwich, gelojoh tapi itu yang comel! Aku beritahu padanya aku ada sesuatu hendak beritahu padanya. Dia tanya apa. Aku jawab aku tak tahu nak mula dari mana. Dia kata okay. Dari riak wajahnya, aku tahu dia lebih berminat untuk menghabiskan sandwichnya berbanding mendengar luahan aku. Celaka punya sandwich, apa kelebihan kau sampai mampu menarik seluruh perhatian cewek ini? Aku pandang mukanya lagi, aku tahu masa makin suntuk, aku harus luahkan ini sekarang juga, ini masanya! Tapi aku betul-betul tak mampu keluarkan sepatah kata pun untuk gambarkan perasaan cinta yang maha hebat ini terhadapnya. Aku pandang lagi mukanya. Tolong tuhan, aku tahu, aku tak akan mampu dan tak mahu muka ini hilang, hilang dari hidup aku.

Aku sedar dia semakin hanyut bersama dengan kenikmatan sandwich itu, jadi aku perlukan sesuatu yang dahsyat, yang epik untuk menarik perhatiannya. Aku nekad, ada satu cara je. Aku ambil pisau, aku kerat dada aku, habis darah memancut keluar, banyak gila. Aku pun takut sebenarnya. Aku sedar aku mula berjaya meraih perhatiannya. Aku tarik keluar pendrive yang ada pada hati aku. Aku mahu beri padanya, cucuk pada hatinya yang aku mahu miliki itu, biar dia tahu isi hati aku. Senang sikit, tak payah cakap.

Tapi dia cakap jangan. Aku tanya kenapa. Dia jawab hati dia belum install Avira Anti Virus versi yang paling baharu. Yang sedia ada untuk lindungi hatinya itu sudah tamat tempoh, expired katanya. Lalu dia terus mengunyah sandwich tadi.


Jadi aku diam. Darah masih mengalir keluar, aku biarkan saja, aku nak balik. Kalau ada senapang sakti, mahu saja aku tembak si matahari biar dia jatuh terhempas sebab aku dah tak tahan. Aku mahu petang tragis di Subway ini berakhir. Dengan segera.

4 comments:

Anonymous said...

Wow. Hebat.

Aqil Muaz said...

Haha. Trimas!

Anonymous said...

cerita betul atau rekaan ?

Aqil Muaz said...

doi? hahaha